My beloved ones

My beloved ones

Saturday, January 17, 2015

Doa Adalah Kekuatan Kita

Semasa kecil saya memang nakal dan kuat main. Mainan kanak2 setengah abad yang lalu. Main tanah liat basah dengan acuan kulit kerang, bila dah kering ketuk2 hingga tanah keluar daripada acuan.  Main masak2 guna ranting kayu kering, guna api betul, tin susu lama jadi kuali dan periuk.  Main bola rounders sampai tak ingat nak balik.  Main sorok2 , main galah, main zero point..... semua boleh jadi permainan yang mengasyikkan.  Yang paling suka bila musim Kaum Cina sembahyang di kubur.  Tolong bersihkan kubur, siap dapat upah.  Tapi kami sekawan masa tu teruk sikit sebab ambil buah limau yang ditinggalkan di kubur, makan buah sampai habis.

Suatu hari saya terlewat balik sebab asyik sangat main, masa tu dalam darjah 2, kalau tak silap.  Sampai di rumah tengok beg sekolah ( masa tu beg sekolah ala2 briefcase kotak) dah kena campak keluar rumah.  Aduh kecut perut, dalam hati tahu dah, kenalah hari ni.  Masuk rumah je, kena rotan dgn almarhumah mak ( moga aman roh mu bonda).  Sebab kaki saya kuat jalan, mak ikat kaki. Mak suruh duduk tepi mesin jahit (masa tu mak ambil upah ambil jahit baju).  Sakitnya kena rotan, tapi tak berani nak nangis kuat2.  Dalam hati doa tak berhenti,..."ya Allah bagilah embah datang , embah baik. Kalau embah datang , mak tak marah dah"  Duduk kena ikat kaki sambil hati terus mengharap keajaiban berlaku.  Embah tinggal di Air Baloi , Pontian, saya di Singapura.

Mata memandang mak dengan penuh mengharap simpati, berjanji dalam hati tak mau balik lewat. Tiba2 ternampak kupu2 terbang masuk rumah.  Bersorak dlm hati, yakin embah akan sampai, sebab org tua2 kata kalau kupu2 masuk rumah ada tetamu nak datang.  Doa dan terus doa, biar embah sampai cepat sikit.

Mata hampir terlelap menanti, kaki masih kena ikat.  Tiba2 terdengar orang bagi salam.  Harapan menebal di hati, alhamdulillah kedua2 embah datang.  Syukur ya Allah.  Embah datang naik bas dari Johor.  Nak masuk ke kampung tempat saya tinggal, mereka kena jalan kaki.  Embah lelaki siap membawa seguni penuh berbagai buah2an, ada rambutan, manggis, nenas.....ya Allah seronoknya.  Ikatan dibuka oleh mak dengan amaran keras agar tidak balik lambat lagi.  Terus salam dan peluk embah. Memang sayang sangat kat kedua2 embah yang penyayang dan baik hati.

Saya terus yakin dengan kuasa doa sejak itu.  Apa2 pun mesti doa, mesti mohon pada Allah.  Itulah didikan almarhum bapak dan almarhumah emak.  Antara yang meyakinkan saya lagi tentang doa ini ialah , amalan mak dan bapak.  Kalau nak exam, bapak akan minta jadual awal2 lagi.  Bapak akan bangun solat malam , baca Quran dan doa untuk kejayaan anak2.  Lepas bapak buat air yasin (istilah biasa) untuk minum sepanjang exam, mudah2an senang menjawab.  Biasanya saya bawa air itu ke sekolah dan share dgn kawan baik.  Hebatnya doa orang tua, menjadi tangkal dan pelindung daripada pengaruh yang tak baik.

Ajar anak2 kita tentang hebatnya doa, ajaibnya doa.  Doa mampu memberi kekuatan kerana kita langsung mengharap pada yang Maha Kuat, yang Maha Berkuasa.

Ingat lagi masa anak yang bongsu, Solehah berada di SJKC Tai Tong. masa tu dia dlm tahun 2 atau 3.  Masa dlm kereta utk ke sekolah, baru dia teringat buku latihan tertinggal atas meja.  Nak patah balik dah lewat, sbb saya pun nak ke sekolah.  Lalu saya ajarkan dia berdoa .  Sedeqahkan fatihah kat lao shi, doa sungguh2, mudah2an Allah lembutkan hati lao shi utk tak marah dirinya.  Saya suruh dia terus baca surah al-fatihah berulang2 sepanjang di sekolah.  Petang tu , bila ambil dia di sekolah, wajahnya cukup ceria.
"Mama, berkesan mama. Lao shi tak marah adik.  Kawan2 adik yang tak bawa buku atau tak siap homework semua kena rotan kat tangan.  Sampai giliran adik, lao shi tak marah pun, lao shi suruh hantar esok.  Adik syukur kat Allah"

Alhamdulillah, doa adalah kekuatan.  Doa menghubungkan kita terus dgn Allah.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

 (QS. 2 : 186).

“Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)” 

(QS. 27 : 62).

No comments:

Post a Comment