My beloved ones

My beloved ones

Saturday, January 17, 2015

Doa Adalah Kekuatan Kita

Semasa kecil saya memang nakal dan kuat main. Mainan kanak2 setengah abad yang lalu. Main tanah liat basah dengan acuan kulit kerang, bila dah kering ketuk2 hingga tanah keluar daripada acuan.  Main masak2 guna ranting kayu kering, guna api betul, tin susu lama jadi kuali dan periuk.  Main bola rounders sampai tak ingat nak balik.  Main sorok2 , main galah, main zero point..... semua boleh jadi permainan yang mengasyikkan.  Yang paling suka bila musim Kaum Cina sembahyang di kubur.  Tolong bersihkan kubur, siap dapat upah.  Tapi kami sekawan masa tu teruk sikit sebab ambil buah limau yang ditinggalkan di kubur, makan buah sampai habis.

Suatu hari saya terlewat balik sebab asyik sangat main, masa tu dalam darjah 2, kalau tak silap.  Sampai di rumah tengok beg sekolah ( masa tu beg sekolah ala2 briefcase kotak) dah kena campak keluar rumah.  Aduh kecut perut, dalam hati tahu dah, kenalah hari ni.  Masuk rumah je, kena rotan dgn almarhumah mak ( moga aman roh mu bonda).  Sebab kaki saya kuat jalan, mak ikat kaki. Mak suruh duduk tepi mesin jahit (masa tu mak ambil upah ambil jahit baju).  Sakitnya kena rotan, tapi tak berani nak nangis kuat2.  Dalam hati doa tak berhenti,..."ya Allah bagilah embah datang , embah baik. Kalau embah datang , mak tak marah dah"  Duduk kena ikat kaki sambil hati terus mengharap keajaiban berlaku.  Embah tinggal di Air Baloi , Pontian, saya di Singapura.

Mata memandang mak dengan penuh mengharap simpati, berjanji dalam hati tak mau balik lewat. Tiba2 ternampak kupu2 terbang masuk rumah.  Bersorak dlm hati, yakin embah akan sampai, sebab org tua2 kata kalau kupu2 masuk rumah ada tetamu nak datang.  Doa dan terus doa, biar embah sampai cepat sikit.

Mata hampir terlelap menanti, kaki masih kena ikat.  Tiba2 terdengar orang bagi salam.  Harapan menebal di hati, alhamdulillah kedua2 embah datang.  Syukur ya Allah.  Embah datang naik bas dari Johor.  Nak masuk ke kampung tempat saya tinggal, mereka kena jalan kaki.  Embah lelaki siap membawa seguni penuh berbagai buah2an, ada rambutan, manggis, nenas.....ya Allah seronoknya.  Ikatan dibuka oleh mak dengan amaran keras agar tidak balik lambat lagi.  Terus salam dan peluk embah. Memang sayang sangat kat kedua2 embah yang penyayang dan baik hati.

Saya terus yakin dengan kuasa doa sejak itu.  Apa2 pun mesti doa, mesti mohon pada Allah.  Itulah didikan almarhum bapak dan almarhumah emak.  Antara yang meyakinkan saya lagi tentang doa ini ialah , amalan mak dan bapak.  Kalau nak exam, bapak akan minta jadual awal2 lagi.  Bapak akan bangun solat malam , baca Quran dan doa untuk kejayaan anak2.  Lepas bapak buat air yasin (istilah biasa) untuk minum sepanjang exam, mudah2an senang menjawab.  Biasanya saya bawa air itu ke sekolah dan share dgn kawan baik.  Hebatnya doa orang tua, menjadi tangkal dan pelindung daripada pengaruh yang tak baik.

Ajar anak2 kita tentang hebatnya doa, ajaibnya doa.  Doa mampu memberi kekuatan kerana kita langsung mengharap pada yang Maha Kuat, yang Maha Berkuasa.

Ingat lagi masa anak yang bongsu, Solehah berada di SJKC Tai Tong. masa tu dia dlm tahun 2 atau 3.  Masa dlm kereta utk ke sekolah, baru dia teringat buku latihan tertinggal atas meja.  Nak patah balik dah lewat, sbb saya pun nak ke sekolah.  Lalu saya ajarkan dia berdoa .  Sedeqahkan fatihah kat lao shi, doa sungguh2, mudah2an Allah lembutkan hati lao shi utk tak marah dirinya.  Saya suruh dia terus baca surah al-fatihah berulang2 sepanjang di sekolah.  Petang tu , bila ambil dia di sekolah, wajahnya cukup ceria.
"Mama, berkesan mama. Lao shi tak marah adik.  Kawan2 adik yang tak bawa buku atau tak siap homework semua kena rotan kat tangan.  Sampai giliran adik, lao shi tak marah pun, lao shi suruh hantar esok.  Adik syukur kat Allah"

Alhamdulillah, doa adalah kekuatan.  Doa menghubungkan kita terus dgn Allah.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

 (QS. 2 : 186).

“Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)” 

(QS. 27 : 62).

Monday, January 12, 2015

Sifat Benar Vs Peraturan Kerja

Antara yang hangat diperkatakan sehari dua di laman sesawang dan dada akhbar adalah tentang hukuman buang kerja ke atas Mejar Zaidi setelah didapati bersalah membuat laporan di media tentang dakwat tak kekal dalam PRU 13.

Mengenali Mejar Zaidi sebagai waris pelajar SMAI selama banyak tahun, saya tidak terkejut dengan tindakan beraninya menyatakan perkara yang benar.  Beliau seorang yang tidak ada masalah menyatakan pandangan beliau.  Masih ingat lagi dalam banyak perjumpaan PIBG atau konsaltasi waris, banyak pendapat2 beliau yang tajam dan jujur dilontarkan untuk penambah baikan.  Beliau sendiri boleh terima pandangan orang lain.  Saya juga kagum dengam anak2 beliau yang tekun belajar dan baik akhlak.  Dua orang anak2 beliau telah tamat tingkatan 5 di SMAI.  Kedua2 mereka adalah antara barisan pimpinan pelajar SMAI.

Tindakan Mejar Zaidi mendedahkan tentang dakwat tak kekal memang mengundang pelbagai reaksi dalam masyarakat.  Dengan jawatannya dalam pasukan tentera memang tindakannya dianggap sangat berani.  Mungkin inilah susunan dalam garis kehidupan beliau, terpaksa berhadapan dengan tindakan dibuang kerja kerana didapati bersalah berpandukan kepada peraturan yang sedia ada.  Mungkin Mejar Zaidi sendiri sedar dan maklum risiko yang akan ditanggung beliau sewaktu mengambil keputusan membuat penyataan media tersebut.  Dia dengan sedar dan penuh tanggung jawab memilih untuk menyatakan tentang penipuan yang berlaku dalam PRU 13.  Tindakannya disokong oleh berjuta rakyat Malaysia sebab penipuan tentang dakwat kekal bukan perkara rahsia malah mendedahkan tentang antara penipuan dalam PRU13.  Sesiapa pun bersetuju, jika dijanjikan dakwat kekal, maka sepatutnya dakwat itu kekal dalam jangka masa yang dijanjikan.  Bila dakwat itu tak kekal, maka ada penipuan berlaku.  Mudah saja untuk faham.

Dalam banyak hal peraturan yang termaktub tidak diikut dan kita lihat banyak kelemahan berlaku dan tidakan tidak diambil untuk membetulkan keadaan.  Lihat sahaja hutan yang gondol dengan pembalakan haram.  Ada peraturan tak?? Ada!! Tapi mengapa kayu balak yang umpama raksaksa di jalan raya boleh melepasi pengawasan pihak berkuasa.  Ada pihak berkuasa kisah??  Maksud saya, betul2 kisah.  Bila berlaku banjir kerana hakisan tanah akibat penggondolan hutan, jari2 menuding kemana?  Ada tindakan????  Kemana perginya petuntukan mengurus banjir??  Ada peraturan tak dalam penggunaan peruntukan banjir?  Ada!!  Kita didedahkan dengan ketitisan berjuta2 ringgit dalam pengurusan kewangan negara.  Ada ke manusia yang ada integiriti boleh terima ketirisan seperti ini dan buat2 pekak dan buta??  Ada peraturan tak dalam kawalan kewangan negara??? Ada!!! Sudah tentu ada.  Kita yang belajar tentang perakaunan menolak ketirisan seperti itu.  Kita bertambah rasa marah bila tiada tindakan sewajarnya diambil utk membetulkan keadaan dan lebih sedih bila pembaziran terus berlaku.

Saya pernah terbaca tentang perbandingan  bola getah dan bola kristal dalam kehidupan manusia.  (maaf tak ingat penulis dan tajuk buku)  Kerjaya kita umpama bola getah.  Walaupun kita jatuh dalam kerjaya, kita boleh bangkit semula dan cuba kerjaya yang lain.  (The rubber ball bounces back).  Sedangkan integtriti dan maruah diri umpama bola kristal, bila terjatuh ia pecah berderai.  Bila seseorang membiarkan dirinya dibeli dengan dunia, harga dirinya hancur.  Saya melihat dan yakin Mejar Zaidi akan bangkit kembali dan Allah akan sediakan bagi dirinya rezeki di jalan yang lain kerana yang memberi rezeki adalah Allah azza wajalla.  Tindakan beliau yang memilih untuk melakukan amar maaruf nahi mungkar, adalah tinadakan seorang yang ada prinsip.  Biar pun mungkin ada yang kata 'padan muka' kepada beliau, saya yakin , keteguhan prinsip hidupnya tidak tergugat.  Rata2 ramai yang mendoakan untuk beliau.  Beruntunglah tuan Mejar Zaidi, didoakan makhluk di langit dan bumi.  Allah jua yang menetukan segalanya.  Hidup ini adalah medan ujian bukan medan ganjaran.

Sunday, January 11, 2015


Assalaamu'alaikum wbt

Buat diri yang masih dipenuhi dengan keduniaan dan panjang angan-angan.


 
Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia akan mematikan kamu, setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu).

Surah al-Jatsiyah ayat 26

Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Dia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Dia mematikan kamu; kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).

Surah ar-Ruum ayat 40

Setiap yang berlaku di sekeliling kita, sama ada yang jauh atau dekat adalah tazkirah dan peringatan daripada Allah yang maha Pengasih lagi maha Penyayang.  Bencana alam di dalam dan luar negara, peperangan berlarutan di sana sini, kejatuhan mata wang, keruntuhan akhlaq ummat Islam dan bukan Islam, penyalah gunaan kuasa dalam urusan negara adalah sebahagian daripada kejadian2 yang sangat patut kita ambil iktibar.  Kita semua kena muhasabah diri, kena merasakan diri kita bertanggung jawab dalam menghadapi kejadian2 ini.  Dalam kata lain kena ambil peduli, kena sama2 mencari jalan agar amar maaruf dan nahi mungkar dilaksanakan sebaik yang boleh, kena sama menyuarakan pandangan dari sudut kemanusiaan dan kehambaan kepada Ilahi.

Bila Allah tidak berada di hati kita, maka dunia akan menghuni dan mencanai nafsu kita hingga kita tidak akan pernah merasa puas dalam melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan wahyu.  Kita perlu bermula dengan membetulkan apa yang ada di hati kita. 


"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera .

(Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89) 

Allah berfirman: Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. Tatkala ia (nabi Ibrahim) datang menemui Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera (qalbun salim)

 (As-Saaffaat [37] : 83 - 84)

Apakah sebenarnya 'qalbun salim'?

Qalbun asal  maksudnya berbolak balik, berubah-ubah, sekali rasa susah hati, sekali rasa senang, sekejap rasa rajin sekejap malas, sekejap bimbang sekejap tidak, sekejap yakin sekejap tidak dan sebagainya. Sifat semula jadi atau sifat asas Qalbun itu ialah sentiasa berubah-ubah (iaitu berpotensi untuk tidak konsisten). Allah ciptakan hati dengankeupayaan untuk memiliki sifat-sifat mahmudah dan juga mazmumah. Qalbun/hati sangat berpotensi untuk tidak konsisten. Sebab itulah susah untuk menjaga hati. Berbanding dengan telinga atau mata dan lain-lain anggota  hati atau qalbun adalah lebih susah untuk dijaga.  Sebab itulah kita perlu sentiasa berdoa dengan doa ini, seperti mana yang diajarkan oleh Nabi saw yang sentiasa  memperbanyakkan doa ini setiap hari, 

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك  

Maksudnya : Ya Allah Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati kami pada agamamu .

Kalau Nabi Muhammad saw, seorang Rasul yang dekat dengan Allah Azza wajalla, sentiasa membasahi lidahnya dengan doa ini, kita insan yang lemah dan alpa, maka bersangatan patutnya kita sentiasa memanjatkan doa ini.  Allahu akbar.  Allahu rabbi.  Apa yang telah kami lakukan ke atas diri kami ya Allah???  Kami penuhi hati kami dengan dunia.  Di luar solat hati kami penuh dengan dunia, di dalam solat juga hati kami memikirkan tentang harta dunia, maka wajarlah kami gundah gulana dan hilang arah tuju.  Kasihannya kami melihat diri kami sendiri.  Kami tahu ya Allah akan kelemahan dan kekeliruan kami, maka bimbinglah kami ya Rabb.  Sesekali orang yang kuat iman juga tertewas juga hatinya dengan godaan dunia.  Maka kami ini lebih lagi ya Allah.  Astaghfirullahal 'adzim.  Astaghfirullahal 'adzim.  Ampuni kami ya Allah kerana tidak menjaga hati yang telah Engkau amanahkan kepada kami.

Hati kami sakit dan terluka kerana kurangnya kami membaca al-Quran dan kurangnya tadabbur ayat2 di dalam al-Quran.  Kami biarkan nafsu kami merobek2 dan menghitamkan hati kami.  Patutlah dunia menjadi seperti keadaannya sekarang.  Mungkin kerana ramainya manusia yang hatinya hitam dan sakit, buta dan tuli.